Kerjaya Awal Hamzah_bin_Mohd_Taib

Selepas tamat zaman persekolahan pada tahun 1985, Hamzah atau Kid memutuskan untuk mengikut jejak abangnya, Nordin yang juga pemain gitar irama Search untuk menjadikan muzik sebagai karier profesionalnya. Karier Kid hanya bermula apabila beliau menggantikan tempat Samad Lefthanded sebagai pemain gitar utama kumpulan Gersang pada tahun 1986.

Kemudian, beliau bersama rakannya iaitu Man Bai (vokalis), Ajib (gitar kedua), Yem Popeye (bass) dan Razak Kerajaan (dram) menyertai pertandingan Rock Festival Malaysia pada tahun yang sama dan mereka dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Mereka kemudiannya didatangi oleh Rahim Othman yang melamar mereka untuk menjadi artis rakaman, seterusnya mengajak mereka untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Namun atas komitmen dan hala tuju yang berlainan, Gersang meneruskan misi dengan tiga orang anggota apabila Kid berjaya mengajak Man Bai & Man Greng (bass) untuk turut serta dalam misi tersebut. Di Kuala Lumpur, mereka mendapat anggota baru dengan penyertaan seorang pemuda bernama Jojet yang juga merupakan anak jati Ampang.

Lengkap sahaja empat orang anggota, Kid bersama anggota Gersang yang lain kemudiannya memasuki Booty Studio, Kuala Lumpur untuk memulakan sesi rakaman album pertama yang diberi judul Gersang pada tahun 1987. Album yang hit dengan lagu Masih Aku Terasa ternyata mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan peminat industri muzik tempatan apabila album tersebut mencatatkan jualan melebihi 90,000 unit.

Pada tahun 1988, mereka telah menghasilkan album kedua yang diberi judul Takdir di mana Acis dibawa masuk sebagai pemain keyboard tetap Gersang. Album yang hit dengan lagu Suratan Takdir telah mencatatkan jualan yang memberangsangkan apabila terjual melebihi 80,000 unit.